Archive for April, 2008


19
April

Ikhlas yang semakin pudar

Hari ini aku dengan bersemangat
menyusun langkah dakwah
mengimpikan kemenangan Islam
dengan segala kemampuan yang aku ada
aku berusaha menggunakan segenap sarana

namun
tak mudah untuk istiqamah
bukan pendek jalan yang dilalui
dan tak semudah yang disangka

dalam perjalanan itu
aku dilontarkan puji-pujian yang banyak
sehingga pudar sudah keikhlasan yang pernah aku rasakan
aku dapat merasakan pudarnya ia
tatkala semangatku kerana manusia
dan lemahku juga kerana manusia

tidak,
aku tidak mahu tunduk lagi
pada keinginan diri yang memaksa
biar aku terus berjuang
mempertahankan keikhlasan dalam hati
hanya kerana-Nya

19
April

…Baru Ku Tahu…

Baru kutahu setelah diuji…
Sebelum diuji, semua terasa mampu
Sebelum diuji, terasa diri layaknya pejuang sejati
Sesudah diuji, baru kukenal diri…
Rupa-rupanya ujian itu kemestian bagi setiap perjuangan

Jangan dipinta
Melalui ujian dapat pejuang yang hakiki
Para pejuang perlu tapisan
Justeru tanggungjawab yang berat bergelar amanah
Bukan semua orang bisa memikulnya
Hanya orang pilihan sahaja mampu melaksanakannya

Tatkala ujian mendatang…saringan pun berlaku
Ada yang lari
Ada yang memukul teman sendiri
Ada yang kesal dan sedih hati
Ada yang terus menyebelahi musuhnya
Namun, yang gagah pastikan bertahan
Di saat hati penuh yakin akan bantuan Tuhan
Keperitan ditelan sebagai juadah
Doa kudus berpanjangan
Demi bekalan sebuah perjuangan

Begitulah peranan ujian
Ia satu keperluan
Tetapi….janganlah ia dipinta…
Kerna kita takkan pernah tahu
Adakah kita di antara yang lulus atau kecundang…

19
April

Aku Terleka Lagi

aku terleka lagi
setelah semalam aku bertaubat
dan merintih kepada Tuhan
hari ini aku terleka lagi
bersama dunia yang menggoda diri

aku terleka lagi
setelah semalam kutinggalkan maksiat
dan berikrar untuk berubah
bersama iman yang kuat membaja
hari ini aku terleka lagi

sekarang aku tersedar
dan kembali mengadapkan wajahku
dalam mencari redha-Nya
dan memohon ampunan-Nya
serta mengharap teguhnya hati
kerana mungkin besok….
aku terleka lagi

bodohnya aku
lemahnya diriku
jika bukan kerana hidayah-Mu
pasti aku terleka berkali-kali

Tuhan…
jangan biarkan aku terus terleka…
begini….

“setiap amal ada masa semangat, setiap masa semangat ada masa futur/lemah semangat, barangsiapa ketika futurnya masih dalam Sunnahku, maka dia akan mendapat Hidayah, barangsiapa ketika futurnya ke arah yang lain(terkeluar dari sunnahku), maka dia akan binasa”

19
April

Semalam Yang Hilang

Hari ini aku terjaga dari lenaku
sekali lagi aku bernafas dalam sedar
bernyawa dalam dunia nyata
aku bersyukur kerananya
bersyukur pada-Nya
hidup kerana-Nya

semalam tiada lagi bagiku
ia pergi buat selama-lamanya
tak mungkin kembali lagi

semalam meninggalkan aku
membiarkan aku terus hidup
pada hari ini
dan mungkin hari esok

semalam…
apa jua yang aku kesali
apa jua yang aku nikmati
apa jua yang aku inginkan
semalam takkan pernah kembali

ia akan semakin menjauh
dan pergi…
buat selama-lamanya

aku harus terus hidup pada hari ini
untuk hari esok yang lebih bererti

19
April

Kisah Basikal Itu

kisah basikal itu
membuat aku berfikir
memberi aku kesedaran
bahawa aku insan yang fakir

kisah basikal itu
membuat aku tengadah
memberi aku sinaran
membezakan nafsu dengan iman

kisah basikal itu
tak mungkin orang kan mengerti
kerna ia basikal aku
dan ia kisah aku

rosaknya membuat aku risau
kotornya membuat aku lemah
lajunya membuat aku bangga
jatuhnya membuat aku sedih
hadirnya membuat aku tak keruan..

akhirnya aku bertanya sendiri
apa ada pada basikal itu?
ia hanya sesuatu yang aku miliki sekarang
dan tak mustahil akan hilang

namun, ia tetap basikal aku
tiap kali aku mengayuhnya ke kelas
kuharap tiap kayuhanku menjadi ibadah

inilah pinjaman dari tuhanku
ada apa pada basikal itu?
ada rahsia bagi orang yang mengerti
ada nikmat bagi orang yang menghargai
dan ada kebinasaan bagi orang yang salah mengerti

ya…memang benar
kisah basikal itu…
membuat aku berfikir…

19
April

Apa Yang Dikau Kejar?

berlari seharian mencari sinar
namun tiada pancaran yang kau temui
bagaimana bisa engkau mendapatkan
tika kau terkurung dalam kegelapan

berlari seharian mencari air
tiada setitis bisa kau nikmati
bagaimana bisa engkau mendapatkan
di tanah kering tiada dicucuri

keluarlah dari kegelapanmu
hijrahlah dari tanah keringmu
dengan izin Tuhan yang menciptakanmu
akan kau temui nikmat yang beribu

tika kau membiarkan diri dalam kejahilan
tika kau lari dari sinaran
tika kau menerobos jalan kesesatan
apa yang dikau kejar??

19
April

Tidak Semua

tak semua yang cantik itu dicintai
tak semua yang buruk itu dibenci

tak semua yang kita suka ada manfaatnya
tak semua yang kita benci tidak berguna

tak semua yang kita miliki akan kekal
tak semua yang kita hilang takkan berganti

tak semua yang pahit itu ubat
tak semua yang manis itu membawa penyakit

tak semua lelaki itu kuat
tak semua wanita itu lemah

tak semua soalan perlu dijawab
tak semua jawapan perlu dipercayai

tak semua yang berkata-kata itu berilmu
tak semua yang diam itu jahil

tak semua yang berilmu itu mulia
tak semua yang jahil itu hina

apa yang pasti…
semuanya…semuanya..semuanya…
diketahui oleh-Nya

19
April

Suratan atau Kebetulan

“…sesuatu yang tak disangka
seringkali mendatangi kita
apakah ini suratan dalam kehidupan
atau sekadar suatu kebetulan…”

aku termanggu sejenak
mendengar lirik yang meragukan jiwaku
saat aku bertanya sendiri
wujudkah ‘kebetulan’ bagi Allah

saat aku dilahirkan ke dunia
adakah itu suatu kebetulan?
saat aku menrasakan nikmatnya rezeki
adakah itu suatu kebetulan?
saat aku nantinya akan berkahwin…
adakah itu juga…suatu kebetulan?

aku melihat jauh ke depan
adakah aku hanya akan hidup dengan kebetulan?
atau memang sudah ada suratan sejak azali?

aku takkan tertipu lagi,
aku yakin dan pasti,
tidak ada kebetulan dalam urusan Allah
melainkan semuanya tercatat dalam Kitab Lauh Mahfuz.

saat aku menulis ini…
adakah ia suatu kebetulan?

19
April

Jiwa yang Sentiasa Bergoncang

aku punya tubuh badan yang sihat
aku juga punya akal yang cerdas
juga jiwa yang dapat merasakan
segala kesedihan, kegembiraan, ketenangan dan kekacauan…

aku ingin kan jiwa yang tenang
yang dapat merasakan nikmatnya Ibadat
dan indahnya zikrullah

namun jiwaku sentiasa bergoncang
tergugat oleh indahnya dunia dan perhiasannya
terlarut dalam panorama kehidupan yang kucar-kacir
tergoda pada pujuk rayu syaitan yang terlaknat

goncangan ini sangat dahsyat kurasakan
merobek setiap inci ketenangan yang kucari
memudarkan iman yang cuba aku tanamkan
dan membawa emosiku jauh dari kebahagiaan

ah…aku tidak harus mengeluh
pada goncangan itu terdapat janji yang hebat di hujungnya
pada kekacauan itu terdapat ketengangan yang tidak tergambar di akhirnya
itu pasti…
dan aku sangat yakin!

17
April

Ayuh Sedarlah!

sedarlah bahawa kamu hidup di dunia
dan kamu pasti menemui ajalmu

sedarlah bahawa kamu sedang diperhatikan
dan kamu pasti akan dipertontonkan di hari pembalasan

sedarlah bahawa kamu itu punya tanggunggjawab
dan kamu pasti ditanya mengenainya

sedarlah bahawa kamu itu manusia
dan kamu itu ciptaan yang Maha Berkuasa

jika kamu sudah sedar
apa lagi alasanmu untuk terus terleka dalam kehidupan?
fikir-fikirkanlah