RSS
 

Archive for July, 2008

Sebab Dia Manusia

28 Jul

Manusia tetap manusia.
Dengan sebab dia manusialah, dia ingin segalanya.
Dengan sebab dia manusialah, dia menerima amanah yang langit, bumi dan gunung tak sanggup memikulnya.
Sebab dia manusia.

Sebab dia manusialah, kalau diberikan emas sebensar gunung Uhud, dia minta yang kedua dan yang ketiga.
Dia minta lagi dan lagi,
sebab dia manusia.
Dia jadi kedekut.

Sebab dia manusialah, ketika mana dia mendapatkan sesuatu dia mengatakan bahawa itu adalah hasil usaha titik peluh dirinya sendiri.
Sebab dia manusialah, ketika dia diberi rezeki dia kata Allah menyanyangi diri.
Dan ketika dia ditangguhkan kurniaan rezeki, dia kata Arl-Wadud telah menghina abdi.

Sebab dan kerana dia manusia dia meminta pada Allah hidangan dari langit. Dia tidak mahu yang biasa-biasa. Dia mahu yang luar biasa. Dia mahu lain dari manusia yang sama jenis dengannya. Sebab katanya dia manusia pilihan tuhan.

Sebab dia manusia juga, dia minta Al-Manna wa As-Salwa, dan dia terus minta lagi bebawangan, kekacangan, dan sayuran. Dan setelah diberi, dia jadi jemu, dan dia tidak mahu lagi.

Sebab dia manusialah, apa yang ada jarang disyukuri, apa yang tiada selalu diimpi.

Sebab dia manusialah, apabila dia tidak mendapatkan sesuatu yang dia impikan dia kecewa dan berputus asa dari rahmat tuhan. Sebab dia lupa bahawa dia itu hamba dan yang berkuasa itu Al-Mannan.

Sebab dia manusialah dia sanggup bicara omongan bahawa
DIALAH TUHAN!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!
Ketikamana syaitan gementar untuk mengatakan demikian.
Hanya kerana dia tidak dijangkiti demam dan kesakitan.

Sebab dia manusia, ketika mana, hukuman tuhan diputuskan ke atasnya, dia masih tunduk dan tertipu pada mainan iblis,
Yang sebelum itu, dialah Aabid yang khalis.

Sebab dia manusialah, ketika badannya sudah ditelan bumi, dia mengatakan tiada taubat pada ilahi.
Sebab dia manusia, dia minta tidak sembahyangkan selepas dia mati.

Sebab dia manusia, dia mengolok-olokkan janji-janji tuhan,
Dan sebab dia manusia, dia mencari kekasih selain Ar-Rahman.

Yang takut pada mainan kata-kata

Hadi Mahdi Ghazi Al-Muhtadi

 

…BENARKAH MESEJ ITU ?…

27 Jul

Siapalah  ‘hamba’

untuk mengarang madah tinta

inikan pula

sembunyi helah bersulam kata

 

Hanya kelemahan berpalit

menyelubungi mencermin diri

menghitung kelebihan umpama igauan

 

Yang kupunya…

secalit maruah dan harga diri

itulah kekuatan dijadikan pakaian

buat menjunjung adat, juga tatasusila

adakah ‘hamba’ keparat durjana?

 
 

Wahai Hati

26 Jul

Wahai Pembolak-balik hati
Jangan biarkan ia jatuh lagi

Ku takut, Ya ALLAH
Ku takut pabila ia jatuh
Jatuhnya tidak dapat bangun kembali
Dan ku takut
Jatuhnya buatku melupakanMu

Lalai dan alpa

Lagi leka daripada mengingatiMu

Sedangkan hati ini

Hanya milikMu hakiki

Jangan biarkan ia jatuh
Jatuh dibuai segala mimpi
Yang dilihat indah
Yang nyata hanya sementara

Wahai Hati
Jangan dibiar dikau jatuh

Tetapkanlah dudukmu

Tetapkanlah diammu

Beringatlah

Bahawa engkau hanya milikNYA

Wahai Hati
Jangan dibiar bunga-bunga indahmu

Berkembang mekar

Sesuka hati

Di mana-mana persinggahan

Di mana-mana jalanan

Teruskan pengembaraanmu
Ke destinasi

Yang tidak pasti itu

Biarkan kembaramu

Buat mencari keredhaanNYA

Semata-mata

Bukan senang untuk mencapai keredhaanNYA itu
Bukan semua, bukan sesetengah, bukan sebahagian

Tetapi hanya segelintir yang berjaya mencapaiNYA

Dan Engkau, wahai Hati
Engkau berusahalah untuk mencapaiNYA

Jadilah seperti yang segelintir

Berusahalah seperti mereka

Bukan senang tetapi berusahalah

Jangan putus mencuba

Jangan mudah putus asa

Penat itu biasa

Tapi janganlah engkau putus asa

Engkau takut?
Ya, aku pun takut

Siapa yang tidak takut..?

Tetapi
Wahai Hati,

Usah takut

Usah khuatir

Engkau perlu kuat

Kerana kuatmu

Tempat pergantunganku

Yakinlah pada-NYA

Yakinlah padaNYA cuma

Sesungguhnya
Yakin itu terletaknya iman

Tinggi yakinmu

Maka tinggilah imanmu

Untuk menjadikannya tinggi

Ingatlah
padaNYA selalu

Ingatlah
Wahai Hatiku

 

Di Mana?

25 Jul

Aku melihat bunga, di mana harumnya?

Aku melihat alam, di mana nyawanya?

Aku melihat salju, di mana dinginnya?

Aku melihat senyuman, di mana manisnya?

Aku mendengar tawa, di mana riangnya?

Aku mendengar tangisan, di mana sebaknya?

Aku terus mempersoalkan, di mana silapnya?

Kerana aku….

Hanya melihat, mendengar dan mempersoalkan.

 
 

Nukilan Buat Syahidah

23 Jul

Di sebalik namamu
Terselindung seraut wajah redup,
Yang manis menawan,
Seindah nama,
Semerdu dendangan kata-kata,
Menyuntik inspirasi minda,
Yang dulunya gersang kedinginan.

Kuterokai secangkir pekerti terpuji,
Kadangkala terselit seribu jenaka,
Membuai keriangan tawa,
Menghidupkan sekeping hati di kala hiba.

Moga kasih yang terbina terjalin selamanya,
Kekallah engkau sebagai seorang insan,
Yang menderap langkah penuh berhemah,
Menyimpan kerendahan hati,
Yang tunduk pada Ilahi.

Doa kutitipkan dalam puisi,
Selama mana nafas ini kuhela,
Hiduplah kita dalam limpah rahmat-Nya,
Sampai ketemu lagi di alam nan kekal abadi.

 
 

Sepi Sendiri

21 Jul

Dalam kesepian ini aku sendiri
Menongkah kembali lembaran kisah lalu
Keperitan silam
Suka dan duka perjalanan lepas

Dalam kebingungan ini aku sendiri
Membongkar kembali rahsia diri
Menyesali apa yang tersurat pada lembaran cerita dulu
Cuba membebat kelukaan yang pernah terbiar

Aku sendiri kini
Tiada lagi janji yang mengiringi
Tiada lagi lagu cinta irama indah
Yang teralun lewat detik lalu

Senyumnya aku hari ini
Setelah sekian lama
Menjadi hamba pada sebuah episod
Luka dan memilukan
Aku…..

Idany04
081204

 
 

Sayu

18 Jul

Perjalanan hidupku yang dipacu detik waktu,
Seolah-olah terhenti sejenak,
Degupan rasa ibarat terjerat,
Deruan ombak bagai tersentak,
Saat itu,
Kesayuan mengalir perlahan-lahan,
Meresapi kabus jiwa.

Lantas jasadku kaku terkedu
Tatkala kuhidu haruman kebahagiaan,
Sepertinya mekar dari sebuah lembah sakti,
Yang dulunya tersimpan..diam menyepi

Mendapan jiwa kian terasa keanehan,
Melontarkan seribu persoalan,
Mengapa desiran bayu berbuai lembut,
Mengalunkan irama ketenangan,
Apalah dayaku untuk mentafsirkan,
Akhirnya terkurung tanpa jawapan.

Kesayuan yang terhela kusingkap rapi,
Aku mula meyakini,
Bahawa setiap detik perasaan,
Adalah nikmat agung kurniaan Tuhan,
Usah dipertikaikan,
Usahlah diragukan,
Aku juga mula mengerti,
Kesayuan yang kualami,
Ranting dugaan keimanan hakiki

 
 

Sesekali

14 Jul

Aku berlari
Kau pun berlari
Sama-sama
Dalam renyai
Rintik-rintik hujan
Petang.
Dingin dan sejuk
Dalam ragu dan gelisah
Berpelukan penuh persoalan.

Kebimbangan kita berbeza
Kau cuba memahami
Aku jelas menafi
Hakikatnya inilah
Warna-warna kehidupan
Kita bicara bahasa sendiri.

Sekali lagi
Inilah warna-warna
Celupan ilahi
Penuh teka-teki
Selalu berbeza.

Jelas. Biarkan.
Tangisan akan tinggal tangisan
Esak tangis lumrah kehidupan
Kehidupan satu kesulitan
Kematian, ujian.

Tiada siapa yang akan peduli
Sesekali simpati hadir
Dari mereka yang cuba memahami.

Mungkin benar.
Mungkin aku tidak memahami
Hakikat diri, ciptaan tuhan
Atau cuba untuk tidak memahami
Tapi biarlah seketika begini
Seadanya.
Pasti hikmah di sebaliknya.

Muhammad Hadi Mahdi Ghazi Al-Muhtadi billah Shah

 

Persahabatan ~ oleh Khalil Gibran

09 Jul

Dan seorang remaja berkata, Bicaralah pada kami tentang Persahabatan.

Dan dia menjawab:
Sahabat adalah keperluan jiwa, yang mesti dipenuhi.
Dialah ladang hati, yang kau taburi dengan kasih dan kau tuai dengan penuh rasa terima kasih.
Dan dia pulalah naungan dan pendianganmu.
Kerana kau menghampirinya saat hati lupa dan mencarinya saat jiwa mahu kedamaian.

Bila dia berbicara, mengungkapkan fikirannya, kau tiada takut membisikkan kata “Tidak” di kalbumu sendiri, pun tiada kau menyembunyikan kata “Ya”.
Dan bilamana dia diam,hatimu berhenti dari mendengar hatinya; kerana tanpa ungkapan kata, dalam persahabatan, segala fikiran, hasrat, dan keinginan dilahirkan bersama dan dikongsi, dengan kegembiraan tiada terkirakan.
Di kala berpisah dengan sahabat, tiadalah kau berdukacita;
Kerana yang paling kau kasihi dalam dirinya, mungkin kau nampak lebih jelas dalam ketiadaannya, bagai sebuah gunung bagi seorang pendaki, nampak lebih agung daripada tanah ngarai dataran.

Dan tiada maksud lain dari persahabatan kecuali saling memperkaya roh kejiwaan.
Kerana cinta yang mencari sesuatu di luar jangkauan misterinya, bukanlah cinta , tetapi sebuah jala yang ditebarkan: hanya menangkap yang tiada diharapkan.

Dan persembahkanlah yang terindah bagi sahabatmu.
Jika dia harus tahu musim surutmu, biarlah dia mengenali pula musim pasangmu.
Gerangan apa sahabat itu jika kau sentiasa mencarinya, untuk sekadar bersama dalam membunuh waktu?
Carilah ia untuk bersama menghidupkan sang waktu!
Kerana dialah yang bisa mengisi kekuranganmu, bukan mengisi kekosonganmu.
Dan dalam manisnya persahabatan, biarkanlah ada tawa ria dan berkongsi kegembiraan..
Kerana dalam titisan kecil embun pagi, hati manusia menemui fajar dan ghairah segar kehidupan.

oleh: Khalil Gibran

 
 

…GURAUAN DUNIAWI…

07 Jul

Saat ini kududuk

merenung selaut nan membiru kehijauan

laksana kunanti…

sang duyong dari dasar lautan

 

Sesekali kurebah diri

beralaskan pasir pantai

laksana kunanti…

sang bidadari dari kayangan

 

Datang angin menyapa

menyentak diri

rupanya sekadar

gurauan duniawi