Andai seorang insan menangkap ikan
nelayankah dia?
Sawah dibajak benih disemai
petanikah dia?
Andai seorang pujangga meluah kata
mengungkap bicara…mengarang cerita
diakah dia?
Laman Penyubur Jiwa
Andai seorang insan menangkap ikan
nelayankah dia?
Sawah dibajak benih disemai
petanikah dia?
Andai seorang pujangga meluah kata
mengungkap bicara…mengarang cerita
diakah dia?


Masihkah kau terasa Patuh pada Tuhanmu?
Tika hatimu terisi dengan cinta pada makhluk-Nya
Yang menutup ruang kasih abadi pada-Nya
Masihkah kau terasa taat pada Nabimu
Saat kau menapaki jalan orang lain
Lalu memandang hina jalan Baginda
Masihkah kau terasa terarah oleh Kitabmu
Sedangkan kau lebih mendengar kata-kata yang lain
Daripada ungkapan-ungkapan di dalamnya
Masihkah kau terasa cinta pada agamamu?
Setelah ia lesap daripada cara hidupmu
Setelah akalmu berfikir di luar batasannya
Setelah hatimu tidak terikat pada ajarannya
Masihkah kau terasa kasih pada bangsamu?
Setelah kau rosakkan dengan tanganmu
Dan kau jual dengan harga murah
lalu kau bakar maruahnya dan kau rendam dalam lautan hasad
Masihkah kau terasa rindu pada tanah airmu?
Setelah kau khianati haknnya dan kau tumpahkan darah di atasnya
Setelah kau taburi najis padanya dan kau tanam benci yang mendalam
Masihkah kau terasa baik?
Tika kejahatan bertapak di hatimu
Masihkah kau terasa mulia?
Saat kau meletakkan dirimu di tempat yang hina
Lalu membiarkan kehinaan meliputi diri
dan mematikan hati
Masihkah kau terasa?


Bisikkanlah pada
angin
Bisikkanlah pada
pohon nan hijau
Bisikkanlah pada
Gunung
ganang
bukit
bukau
bisikkanlah pada
laut
dan
ombak.
Bisikkan pada semuanya.
Semuanya pada bisikkan.
Sungguh.
Tiada makna
pada birunya
langit
pada sentosanya
bumi
pada damainya
suasana
pada nyamannya
udara
pada segarnya
pepohon
melambai
dari kejauhan
penuh makna
tiada makna
makna tiada.
Dan
Antara lesu dan lengang
Tiba-tiba
dipenuhi
ruang yang terisikan
dengan bisik-bisik
dan suara rintih
dalam
tapi sayup-sayup
pada menyampaikan
salam
cinta
dari dalam kamar
kamar jiwa
rindu sang pencinta
pencinta sang rindu.
melayangkan sepucuk surat
menyampaikan
salam cinta
nun jauh
dari
daratan
di tepian lautan
bumi nan bergoncang
Beirut.
Bahawa;
dalam cinta
Menuntut pengorbanan
Kesetiaan
Kesabaran
Ketaatan
Kepatuhan
ke
Keluhuran
Keteguhan
Kesucian
Ketulusan
Pengorbanan menuntut
Cinta dalam.
Bahawa;
cinta hakiki
Cinta suci
Dari hati
Diikat
Pada cinta
Yang
tak mengharapkan
cinta
pada batasnya
cinta itu murnilah
murnilah cinta itu.
Bahawa;
Tiada kasih-kasihan itu mulus
Jika
Tiada diikat
Pada kasih
Yang tak menagihkan
Kasih
Pada melanggar batasnya
Kasih itu pudar dan malap
Malap dan pudar itu kasih.
Menemui
kekasih sejati
hati dan nurani
jiwa nan lara
larut dalam cinta
isyq dan fana
melutut dan menadah
sentiasa
pada
Yang Tiada Ganti
Cinta sang perindu
Perindu sang cinta.
Di kota kemegahan
Keangkuhan
Kemasyhuran
Idam-idaman
Nama dan sebutan
Sabda Baginda
Cerita luka lama
Istanbul.
Terimalah.
Salam cinta dari Beirut ke Istanbul.
Hadi Mahdi Muhtadi.
Catatan pengalaman
Perjalanan ke Kota Istanbul dan Beirut.

posted under cinta | Comments (0)

Aku dididik dan dibesarkan
dengan jiwa anak merdeka
pemikiran melewati batasan
hidup di landasan
yang penuh dengan tujuan!
Tiba di satu persimpangan
dilema hebat melanda
persoalan yang sukar dirungkaikan
jiwa layu terkulai
terpenjara…
Aku kini dilabel banduan
terpenjara disebalik tabir besi
dicerca! dinista!
oleh diri sendiri


Jerih yang sudah lama kupendam,
Terkunci dalam sisa kenangan,
Namun beban keperitan,
Meretakkan dinding kesabaran,
Hingga terserlah bayangan duka,
Di sebalik cermin kesugulan.
Sirah lampau kerap kali berdetik,
Lalu memadatkan genggaman tekad,
Untuk kuluahkan rasa yang kian mendera,
Demi merempuh rintangan kealpaan.
Aku hadir pada denyutan paksi kebenaran,
Lahirku ketika manusia terkesima,
Dari lena penjajahan dan penindasan,
Dari buaian kekejaman dan kejatuhan,
Bangkitku ketika manusia tersepit,
Di celah pembohongan semanis madu,
Memperdaya kubu jiwa terleka….hampa tiada suara.
Saat itu…
Akulah yang menjangkaui batasan kudrat,
Kupapah anak watan yang memberontak jiwanya,
Kutebus segenap inci kebebasan sejati,
Demi menjunjung kedaulatan tanah air,
Yang terkulai dihentak penindasan tidak berbudi,
Saat itulah..
Aku mengiringi setiap tumpahan darah dan keringat,
Aku mehangatkan setiap susunan langkah,
Perajurit dan pembela negara bermaruah.
Akulah penghuni jiwa merdeka,
Yang menyala sebagai sumbu maruah negara,
Lambang kejatian bangsaku tercinta,
Kupahat menjadi ukiran kebanggaan,
Kerana getaran sukmaku,
Hanya terpadu..kesetiaan suci kepada pertiwi.
Namun pabila kutenung kembali…
Jalinan kekecewaan dan kehampaan,
Pahit menyelubungiku yang kini tersisih,
Aku kini bagai melukut ditepi gantang,
Aku kini bagai pengemis jalanan yang jijik dipandang,
Aku kini seperti dongengan yang semakin muak didengar,
Aku kini umpama papan reput yang dikerjakan anai-anai,
Aku kini bagai dedaun kering di halaman lapang,
Menyemakkan pandangan keangkuhan.
Rebahku pada hamparan lusuh,
Aku teraniaya…
Dalam kemegahan yang kucetus,
Sejujurnya tiadalah segunung emas yang kudamba,
Cukup bagiku..
Untuk disuntik ke dalam setiap tubuh bangsa merdeka,
Sungguh kurindu untuk kembali tercorak indah,
Setelah lama pudar dan tercalar.
Sememangnya tidakku pandai mengayam kata bersilang madah,
Seandainya kalian mengerti…
Aku takkan tersungkur parah,
Biarpun tersadung akar sogokan,
Aku takkan terjual murah,
Biarpun dilelong budaya kegawatan,
Aku jua takkan terjelepok lelah,
Biarpun mengharung badai kemodenan,
Kerana aku adalah secebis semangat kebangsaan,
Yang meluahkan secebis erti kemerdekaan.

