Archive for January, 2009


21
January

Samudera Harapan

Kalau boleh aku gambarkan

Ada tenang dalam ributmu

Laut China Selatan

Pada geloramu aku cemburu

Aku ghairah, dan terpaku.

Kalau boleh aku kiaskan

Di pagi hari nan damai

Dielus rindu angin pantai

Ada gumpalan awan hitam kelabu

Tanda amarah

Seketika cerah

Di dataran luas, seluas mata menjenguk, jenuh

Persis naluri adami insani

Tampak tenang

Sesekali berantakan

Menderum ombak tinggi lampai

Membadai pantai

Memukul berkecai

Memecah damai

Ada noktah untuk aku dalami

Lambang kegigihan

Lapangan kehidupan

Ketika mata syahdu memandang tongkang pulang ke pesisir

Dari tengah samudera

Membawa harapan dan masa depan

Untuk waris anak watan.

Hadi Mahdi Muhtadi

Sempena persinggahan ke Kuala Terengganu.

18
January

Angin

Senja itu…
Awan gemawan indah memukau,
Pesonanya memanah derita sepasang mata…pencinta alam yang setia,
Sungguh dia terpaku akan kepolosan sekapas awan,
Berbumbungkan samudera langit kebiruan,
Lantas dia bertanya sendiri,
Itukah kau angin yang bersahaja?
Bertuip tanpa hembusan…
Mengukir awan kerinduan…

Senja itu…samar dalam pelabuhan siang,
Dia merasai sentuhan redup yang menyegarkan,
Kala hati tertimbus dalam runtuhan kepiluan,
Sentuhan itu…cukup untuk menggegarkan segenggam tekad,
Yang perit dirantai keraguan,
Lantas dia bertanya lagi,
Itukah kau angin yang manja?
Membelai alunan kasih tanpa kata-kata…
Tidak tersekat menyelubungi jiwa terjerat..

Senja masih di situ…
Sedang dia dalam lamunan kekosongan,
Terdengar desiran angin berirama girang,
Bercanda bersama dedaunan kering,
Yang sedang gugur tanpa dipinta,
Sesekali…pepasir halus turut sama bersenda tawa,
Merancakkan secebis halwa kebebasan,
Namun dia masih juga bertanya sendiri,
Itukah kau wahai angin?
Yang meniupkan seruling kaca…
Menghidupkan hawa taqwa…

Kini senja memerah,
Beransur bersama tirai malam,
Angin yang selama ini membisu,
Terasa bergetaran di cuping telinga,
Membentuk seruan keinsafan,
Menyerap ke dalam liang-liang kealpaan,
Sungguh sukar untuk dia yang tidak mengerti,
Menjelaskan seluruh pertanyaan…
Bibirnya kini kaku membeku,
Persoalannya tersimpul dalam keagungan dan keesaan…

Comments Off