Kalau boleh aku gambarkan
Ada tenang dalam ributmu
Laut China Selatan
Pada geloramu aku cemburu
Aku ghairah, dan terpaku.
Kalau boleh aku kiaskan
Di pagi hari nan damai
Dielus rindu angin pantai
Ada gumpalan awan hitam kelabu
Tanda amarah
Seketika cerah
Di dataran luas, seluas mata menjenguk, jenuh
Persis naluri adami insani
Tampak tenang
Sesekali berantakan
Menderum ombak tinggi lampai
Membadai pantai
Memukul berkecai
Memecah damai
Ada noktah untuk aku dalami
Lambang kegigihan
Lapangan kehidupan
Ketika mata syahdu memandang tongkang pulang ke pesisir
Dari tengah samudera
Membawa harapan dan masa depan
Untuk waris anak watan.
Hadi Mahdi Muhtadi
Sempena persinggahan ke Kuala Terengganu.




