Archive for June, 2009


23
June

Percaturan Takdir

Hampir dua dekat lamanya,
Kujalani sebahagian lorongan kehidupan,
Mendiami tumpangan dunia,
Di sisi penuh kasih terisi,
Di hati lautan cinta mengairi,
Di minda terlipat rapi potret suci,
Dua insan yang kucinta,
Bersama enam panglima perkasa,
Yang membimbing nilai manusia,
Berpesan akan kemuliaan,
Ertinya amal dan kebajikan.

Pesan bonda,
Kekayaan bukan ukuran,
Kemiskinan bukan penghinaan,
Hiduplah seperti labah-labah,
Tidakkan kecewa walau berkali runtuh sarangnya.

Pesan Ayahanda,
Ilmu adalah harta,
Mengangkat martabat manusia,
Berpautlah pada kekeluargaan,
Hidupmu pasti punya haluan.

Pesan kekanda,
Jalan untuk berjaya,
Bukan satu, bukan berjuta-juta,
Langkah yang berselisihan,
Penambah seri diari kenangan.

Itulah keajaiban kasih sayang,
Bukan sekadar dicurahkan,
Ianya dalam makna perkongsian,
Buat pertama kalinya,
Seribu rasa besimpul satu,
Tiada beza warna,
Tiada juga kelainan rupa,
Nadiku mula berdenyut senada,
Adakah perpisahan ini untuk sementara?
Atau…mungkinkah untuk selama-lamanya?
Siapa tahu…
Takdir jua menggenggam rahsia.

14
June

Sungai Darah

(Dedikasi Untuk Syuhada Di Narathiwat)

Mungkin kita memang kotor
ketika melihat darah berkocak pada lelah sungai
pekat merah itu persis warna ufuk barat
waktu berbunyi beduk Maghrib.

Mungkin kita memang lama kotor
ketika melepaskan lelah melihat kotor merah
meluahkan gusar resah gelisah
tentang masa depan petak sawah
senang tidak, terus menyumpah seranah.

Tapi menjadi sucikah?
Bila tenang berwuduk dengan sungai itu di hilir
sedang di hulu anak dipancung, ibu dipasung
saudara digantung, perang menyabung
tiada siapa hairan, tiada siapa perasan.

Apunpital
Saitama-Jepun.

13
June

Ini kota marhaen

Ini kota marhaen

Kota kotor dan hina

Mengalir hanyir

Dari dalam jiwa.

Biar berantakan semuanya

Biar pecah, biar luluh

Biar pedih, biar punah

Biar jahanam semuanya

Biar bangkit mayat-mayat

Biar kubur-kubur digalikan.

Kerana

ini bukan dunia borjuis, sang penguasa

bukan kota alunan nyanyian merdu

bukan hamparan permaidani merah

kerana

ini kota marhaen

zahirnya gah, batinnya musnah.

Hadi Mahdi Muhtadi

29 November 2008

Puduraya

12
June

Wajah Baru Arena Puisi

Salam sejahtera buat semua penulis dan pembaca Arena Puisi…semoga semuanya dalam keadaan sihat sejahtera dengan jiwa yang hidup dan subur.

Alhamdulillah, setelah mencari pelbagai jenis layout dan design, saya menemui design ini sebagai wajah baru arena puisi. semoga kelihatan lebih kemas dan indah mata memandang. Semoga semua penulis dapat menulis dengan lebih bersemangat dan berkesan.

Kepada semua pembaca, sebarang komen dan cadangan bagi penambahbaikan laman ini sangat dialu-alukan. Sesiapa yang ingin menjadi penulis di sini juga dipersilakan. Boleh hubungi kami menggunakan borang dalam page hubungi ataupun boleh menghantar email ke zul_ajon@yahoo.com
Selamat Berkarya dan Selamat Berfikir!

5
June

Harusnya Kau Beriman

Tatkala kau hirup udara segar
kau lihat alam seindah mata memandang
kau melangkah sekuat kakimu
ke mana-mana yang kau ingini
kau angkat tanganmu
makan, menulis, bermain dan memegang
kan harusnya kau beriman?

Tatkala mulutmu tak berjahit
kau bisa berbicara manis
meluahkan isi hatimu
memuji atau mengkeji
makan, menguap, senyum dan ketawa
kan harusnya kau beriman?

Hidungmu tak tersumbat
nafasmu lancar tak tersekat
hidumu dapat menilai yang enak dan bukan
tak masuk air tatkala hujan
berlubang dua tak cacat
kan harusnya kau beriman?

Tatkala jantungmu berdegup-degup
kadang perlahan kadang kencang
mengepam darah dengan baik
hingga kau bisa hidup lagi
aman dan harmoni
kan harusnya kau beriman?

Tatkala orang bercakap
kau bisa mendengar
tatkala orang berbisik
kau bisa mendengar
tatkala orang memberi nasihat
entahlah kau mendengar atau tidak
pokoknya…han harusnya kau beriman?

Adakah kau ingin menunggu matamu buta
atau telingamu tak terdengar desir angin lagi
dan hidungmu tak bisa bernafas lancar
atau mulutmu tertutup selama-lamanya
dan patah seluruh anggota
baru kau nak beriman?