RSS
 

Archive for October, 2009

…SECAWAN SUSU PANAS…

27 Oct

Secawan susu panas

keputihan…

memancing jernih kesucian

 

Secawan susu panas

panas…

ditiup dihirup perlahan-lahan

 

Secawan susu panas

mencerna kasih bahagia

 
 

Duhai Abang

25 Oct

Duhai abang…maafkan aku,
Aku tega mengguris hatimu,
Sesaat angkuh menjadi insan terlupa,
Yang mencebik saat engkau tersenyum,
Yang melukakan saat engkau mendambakan keriangan,
Dari keihklasan sebuah pemberian.

Duhai abang…maafkan aku,
Kucoret puisi dalam terkilan yang berbaki,
Kerana tak mampu kembali meleraikan,
Ketegangan genggaman sentuhan semalam,
Kutahu maaf belum tentu cukup melegakan,
Hati seorang abang yang terluka,
Akan kata-kata yang berbisa.

Duhai abang…maafkan aku,
Aku terbiasa hidup bersahaja,
Minda terdidik dalam ketundukan,
Bimbang ketidakcukupan barangkali,
Kekadang tersipu sendiri.

Duhai abang…maafkan aku,
Baru kutahu isi hatimu,
Mahu menyenangkan kemurungan adikmu,
Tapi sayang…
Penat lelahmu kubalas dengan tamparan keengganan.
Mengertilah abangku…
Daku insan lemah,
Terkadang berbuat salah.

 
 

Gagak(ii)- Takwa

20 Oct

Lalu gagak,
apa yang kau tangiskan?
meski tidak seputih merpati,
atau merak seindah pelangi;
bukankah janji Tuhanku,
dan Tuhanmu:-
“Yang tinggi, dekat,
dan mulia pada-NYa;
adalah jiwa,
yang dalamnya,
takwa?”

Nadim M
O’Flanagan Lecture Theature,
Royal College of Surgeons in Ireland
20 Oktober 2009

 
1 Comment

Posted in NadimM

 

…SIMPULAN KASIH…

07 Oct

Usah menyendiri…sendiri

tercicir dalam penyatuan

tersingkir dalam gandingan

 

Sebatang lidi

kalau dipatah mudah

berdiri lemah

dijentik rebah

 

Seberkas lidi

kalau dipatah susah

berdiri gagah

dijentik tak rebah

 

Ayuh kejapkan ikatan

usah uraikan simpulan

kerana basah hujan tak mereputkan

kerana terik mentari tak melekangkan

memanjat usia…menyuburkan