Jerih yang sudah lama kupendam,
Terkunci dalam sisa kenangan,
Namun beban keperitan,
Meretakkan dinding kesabaran,
Hingga terserlah bayangan duka,
Di sebalik cermin kesugulan.
Sirah lampau kerap kali berdetik,
Lalu memadatkan genggaman tekad,
Untuk kuluahkan rasa yang kian mendera,
Demi merempuh rintangan kealpaan.
Aku hadir pada denyutan paksi kebenaran,
Lahirku ketika manusia terkesima,
Dari lena penjajahan dan penindasan,
Dari buaian kekejaman dan kejatuhan,
Bangkitku ketika manusia tersepit,
Di celah pembohongan semanis madu,
Memperdaya kubu jiwa terleka….hampa tiada suara.
Saat itu…
Akulah yang menjangkaui batasan kudrat,
Kupapah anak watan yang memberontak jiwanya,
Kutebus segenap inci kebebasan sejati,
Demi menjunjung kedaulatan tanah air,
Yang terkulai dihentak penindasan tidak berbudi,
Saat itulah..
Aku mengiringi setiap tumpahan darah dan keringat,
Aku mehangatkan setiap susunan langkah,
Perajurit dan pembela negara bermaruah.
Akulah penghuni jiwa merdeka,
Yang menyala sebagai sumbu maruah negara,
Lambang kejatian bangsaku tercinta,
Kupahat menjadi ukiran kebanggaan,
Kerana getaran sukmaku,
Hanya terpadu..kesetiaan suci kepada pertiwi.
Namun pabila kutenung kembali…
Jalinan kekecewaan dan kehampaan,
Pahit menyelubungiku yang kini tersisih,
Aku kini bagai melukut ditepi gantang,
Aku kini bagai pengemis jalanan yang jijik dipandang,
Aku kini seperti dongengan yang semakin muak didengar,
Aku kini umpama papan reput yang dikerjakan anai-anai,
Aku kini bagai dedaun kering di halaman lapang,
Menyemakkan pandangan keangkuhan.
Rebahku pada hamparan lusuh,
Aku teraniaya…
Dalam kemegahan yang kucetus,
Sejujurnya tiadalah segunung emas yang kudamba,
Cukup bagiku..
Untuk disuntik ke dalam setiap tubuh bangsa merdeka,
Sungguh kurindu untuk kembali tercorak indah,
Setelah lama pudar dan tercalar.
Sememangnya tidakku pandai mengayam kata bersilang madah,
Seandainya kalian mengerti…
Aku takkan tersungkur parah,
Biarpun tersadung akar sogokan,
Aku takkan terjual murah,
Biarpun dilelong budaya kegawatan,
Aku jua takkan terjelepok lelah,
Biarpun mengharung badai kemodenan,
Kerana aku adalah secebis semangat kebangsaan,
Yang meluahkan secebis erti kemerdekaan.