RSS
 

Si ibu Masih Sendiri

13 Mar


Ketika lembayung senja bermegah di kaki langit,
Si ibu tua masih termanggu di ambang pintu,
Dengan sinar mata yang penuh pengharapan,
Mengharap pulangnya anak tercinta,
Namun … harapan sekadar dedaun kekeringan,
Yang bisa diterbangkan pawana duniawi,
Si ibu masih sendiri

Teratak buruk menjadi saksi,
Kemesraan yang pernah terjalin,
Seumpama bebunga mekar di taman puspasari,
Masih tersingkap di ruang mata,
Masih tersemat di lubuk hati,
Wajah-wajah yang pernah ketawa dan merintih,
Seolah penawar duka di hati bonda,
Si ibu masih sendiri

Terhiris hati dek si anak,
Terguris jiwa umpama panah arjuna berbisa,
Gelodak rasa mengulit sengsara,
Menguntum sukma duka yang kian berlabuh,
Tiada lagi lingkaran kasih yang terulit,
Tiada lagi jalinan cinta yang pernah terpaut,
Kian pudar dimamah waktu dan usia,
Kesunyian kian mencengkam dipuncaknya,
Si ibu masih sendiri

Mega senja berlabuh lagi,
Dengan kicau burung kian sayup,
Suria tergelincir dari singgahsana yang agung,
Kelopak mekar mengharumi pusara,
Doa nan mulus tiada terungkap,
Tiada anak yang pernah bertamu di ruang hati,
Tiada kirana yang bersinar lagi,
Pusara itu makin sunyi dan gersang,
Nantikan ibu di ambang inderaloka,
Biar pun badai derita masih berlagu,
Si ibu masih sendiri.

Karya : Ahmad Firdaus B. Mat Isa (Perak)

 
 

…UMPAMA MENGEJAR PELANGI…

07 Mar

Kanak-kanak kecil berlumba-lumba berlarian

melambai-lambai sambil melonjak girang-kegirangan

mengejar pelangi…

 

Anak remaja saling sama bersaing-saingan

mencangkir memori dengan indahnya seri

menggelongsori pelangi…

 

Anak dewasa berpusu-pusu serata bertebaran

Ingin sekali mendakap bersenandung mimpi

membelai pelangi…

 

Sayang indahnya pelangi tidak kekal terus menyeri

cuaca alam tidak semedang mengizinkan

 

Berlabuh tirai cahaya

langsung terus mencari-cari…mengejar pelangi

 

 
 

Duhai Malam

03 Mar

Duhai malam
aku rindu padamu
setiap hari kau hilang
muncul menutup siang
namun aku tak jemu merindu
pada sepi dan pada damainya hati
dengan kehadiranmu.

Duhai malam
kau pakaianku
kau memberiku ruang bertenang
dalam rintihanku kepada Tuhan
dalam titisan air mata
yang berderai bersama dosa. Read the rest of this entry »

 
No Comments

Posted in zulyunus

 

…TIDAK MEMAKSA…

27 Feb

Memiliki tanpa kerelaan

bukanlah pemilikan…

kerana keterpaksaan

 

Melepaskan dengan membebaskan

bukanlah kehilangan…

kerana membiarkan

 
 

…RUMAH TUMPANGAN…

07 Feb

…“Mohon menumpang tuan”…

sayup suara berbisik menelan perit

bersahaja dalam nada penuh hina

melonjak tinggi kendiri meski hadirnya memijak diri

 

Mengambal si tuan itu dari suatu penjuru

menguntum senyum berwajah polos terkandung seribu makna

…“Masuklah”…wahai kelana

 

 Sudah resam kehidupan

berlari-lari dalam kitaran bulan dan matahari

asal tetamu kini hidup menumpang

seumpama mengharapkan belas ihsan tuan

tiap-tiap budi terus menjadi ungkit-ungkitan

 

…“Argh! Apa yang kau ada penumpang?

tiada apa-apa, hanyalah siulan kepapaan

berani engkau membuat sesuatu semahumu

Nah! rasakan…aku ini tuan!”

KELUAR! KELUAR! KELUAR!!!…

 

Tanah bumi ini menjadi saksi

kesaksian di bawah bumbung langit luas terbentang

seorang penumpang…meneriti sebuah perjalanan

 
 

…GILA BAYANG…

27 Jan

Memuja perasaan itu

semacam satu permainan

yang bermain dengan bayang

 

Berkilau suria…

redup buana bercanda

benderang punama…

bayangan siang pun lalu menjelma

 
 

…CINTA ITU PENGORBANAN…

07 Jan

Cinta itu pengorbanan…

dari sudut mana jua dipandang

cinta itu pengorbanan

 

Nilai cinta yang seringkali dicerita

cinta teruna dan dara bermadu kasih asmara

 

Rentetan sebuah perjalanan

hadir bertandang tanpa langsung diundang

kejam menghilang tanpa langsung dirancang

 

Berbisik dalam diam

mengocak tenang bergelora

saat perasaan berbicara

 

Rindu yang membara

menggetarkan jiwa menumpul  akal minda

terhala bertingkah buat mencipta salah

 

Silapnya hari semalam…

kesucian sebuah cinta

menjadi taruhan pengorbanan

kerana kejujuran percintaan

diukur pada kesanggupan buat mengorbankan

 

Cinta itu bukanlah untuk memiliki

cinta itu adalah suatu keajaiban untuk dinikmati

 
 

…BANGKIT…

27 Dec

Bangkit! bangkit! bangkit!

jangan lesu…

bangkit! bangkit! bangkit!

jangan lesu…

bangkit! bangkit! bangkit!

jangan lesu…

 

Sudah terlalu lama engkau tidur ternyenyak lena

 
 

Ketenangan

25 Dec

Hamba mendambakan ketenangan
memohon kepada Tuhan
larut dalam kedinginan
asyik dalam rintihan
bersungguh menadah tangan
mengharapkan kurniaan

Ke manakah hilangnya ketenangan?
di manakah letaknya?
apakah masih tersisa pada jiwa yang kotor
atau terpahat pada jiwa yang suci?

Ketenangan itu anugerah
diberikan pada yang terpilih
luarannya mungkin nampak perit
namun jiwanya lapang dan tenteram
hatinya khusyuk menyembah Ilahi
pada mata manusia kelihatan sempit
pada Allah boleh jadi dia yang tertinggi

Ketenangan, kebahagiaan
dua istilah pada satu jalan
buat pencari Tuhan
buat menemani perjuangan

Ketenangan itu anugerah
diberikan pada yang terpilih
pada yang ikhlas mencari jalan

 
No Comments

Posted in zulyunus

 

Wahai Teman

20 Dec

Wahai teman
ke manakah jalan hidupmu?
apakah ke laluan yang terang benderang,
atau ke lorong yang gelap dan kelam?
atau mungkin…
kau ingin menyelusuri laluan samar berkabus
penuh keraguan dan ketidakpastian?

Wahai teman
masa muda itu singkat
kematian itu dekat
masa lalu takkan kembali
yang ada hanya kini dan masa depan
berbuatlah sesuka hatimu sekarang
jika kau ingin sengsara di hari kemudian

Wahai teman
tatkala engkau merasa tersisih
ingatlah pesanku, percayalah kataku
bahawa dirimu terlalu istimewa
dan tak layak untuk engkau berputus asa
kerana Tuhan sentiasa ada
mendengar dan melihat segala

Wahai teman
tahun demi tahun berganti
saat demi saat tak pernah terhenti
cuma satu kupinta darimu
tetapkanlah matlamat hidupmu
laluanmu akan menjadi mudah

Wahai teman
jangan merasa berat dengan pesanku
kerana aku kasih dan sayang padamu
dan aku ingin…
agar kau kasih pada Tuhan dan Rasulmu.

Selamat Tahun Baru Hijrah 1431

 
No Comments

Posted in zulyunus